Mengapa Golongan Liberalist Gemar Melakukan Program-program Kontroversi dan Adakah Ia Berkait Rapat dengan Ideologi Mereka?

Review By: Restoran: Dakwah
Share Button

ARG Johor cuba menganalisis secara ringkas tentang sorotan peristiwa-peristiwa hasil percaturan liberalis yang berlaku di Malaysia. Golongan Liberalist di Malaysia melihat pengamalan agama Islam penduduk tempatan adalah sebagai pengamalan warisan tradisional dan dianggap sebagai konservatif. Manakala Liberalisme merupakan faham yang menititk beratkan nilai keterbukaan dan memerlukan sosialisasi masyarakat dalam membentuk masyarakat yang lebih homogenous. Pengamalan beragama sedia ada yang meletakkan had sempadan antara penganut agama yang dibina secara tanpa sedar dianggap sebagai satu halangan kepada kesepaduan sosial yang ingin dibina menurut nilai-nilai demokratik dan hak asasi manusia. Bagi memahami persoalan ini, kita gariskan prinsip asas Liberalisme yang digariskan oleh Edmund Fawcett (2014):

i. Respect for people in their own right;
ii. Resistance to power;
iii. Conflict is inescapable;
iv. Change is inevitable and good

1476762_10201216862329647_2027166840_n

1. Kewujudan Liberalisme mengangkat darjat manusia untuk menggunakan akal mnurut kemampuan masing-masing sehinggakan wujudlah dualisme (Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1993) dalam beragama antara Manusia dan Tuhan, Akal dan Wahyu, Sains dan Agama. Dualisme ini seakan membentuk dikotomi yang memerlukan manusia untuk memilih salah satu daripadanya dengan meninggalkan (extreme) atau mengurangkan (moderate) peranan selainnya. Penganjuran program-program seperti ini banyak mengangkat peranan akal manusia berbanding neraca yang disediakan oleh wahyu. Perbuatan-perbuatan tersebut dianggap sebagai tidak bertentang dengan akal budi (rasional) mereka. “Berbuka puasa di gereja tidak akan mendorong umat Islam untuk murtad.” / “Anjing juga merupakan makhluk tuhan yang tidak boleh didiskriminasi”. Mereka menjadikan humanism dengan teras iman dan amal yang memerlukan manusia memusatkan diri kepada Tuhan tetapi demi mencapai kepentingan manusia (Sani, 2012). Dualisme ini akhirnya akan mengundang padah apabila sebahagian larangan Islam akan dianggap sebagai merendahkan martabat manusia, dan hukum-hukum agama yang difikir tidak rasional kembali disemak oleh akal demi memenuhi kehendak nafsu mereka. Penghambaan dan pengabdian kepada Allah akan diketepikan kerana dianggap sudut pandang itu hanya memperlihatkan penciptaan manusia yang hina, lemah, tidak berdaya dan tidak sempurna.

2. Golongan Liberalist juga berusaha untuk membuka kebebasan dalam pengamalan agama yang dianggap sebagai tradisi yang rigid dan konservatif (memilihara amalan status quo). Dalam konteks ini, mereka melihat amalan-amalan sebegini merupakan penguasaan yang dikenakan oleh otoriti agama terhadap individu sedangkan agama adalah sebagai salah satu ruang peribadi (private spehere) yang tidak boleh diceroboh oleh sesiapapun termasuk Tuhan (menurut faham Libertarian). Mereka membenarkan tindakan ini dengan membezakan pengamalan agama menurut ‘adat’ serta ‘syariat’. Adat yang diamalkan oleh mayarakat setempat dipercayai bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri (Aljazeera, 2014), malahan penganut yang lebih ekstrem turut melihat mazhab feqah juga hanyalah salah satu tafsiran manusia dan masyarakat awam kini turut digalakkan melakukan intepretasi terhadap wahyu dengan horizon yang lebih luas dan kontemperor. Natijah daripada ini hanya melahirkan kekeliruan dalam memahami agama apabila tafsiran yang tepat dan sonsang bercampur aduk sehingga menghilangkan ketulenan sebenar serta kefahaman yang sahih terhadap Islam.

3. Mereka ini cuba memecah tembok kebiasaan yang dilakukan. Skeptikal mereka terhadap kelompok konservatif dan tradisionalist hanya berkisar dalam lingkungan budaya pejoritif. Sikap-kejam terhadap anjing, prejudis kepada non-muslim, Allah hanya untuk umat Islam – dijadikan kayu ukur mereka dengan mengatakan amalan ini adalah sangat bertentangan dengan nilai kemanusiaan, menimbulkan perpecahan malahan menjadikan Islam sebagai agama yang eksklusif dan fasis. Kelemahan ini telah diangkat dan dibingkai oleh media seolah-olah keseluruhan adat keagamaan masyarakat setempat adalah kolot dan ketinggalan. Kegagalan ini juga turut berlaku kerana mereka sendiri melihat pengamalan Islam dari kaca mata Orientalist dengan pengistilahan Barat seperti Traditionalist, Revivalist, Fundamentalist, Reformist sedangkan perbezaan manhaj, firkah dan feqah nya perlu dilihat dari kaca mata sarjana Islam sendiri kerana mereka lah lebih memahami kekayaan sejarah umat Islam sebagai Barat mengenali khazanah mereka sendiri.

4. Mereka cuba membawa perubahan kepada masyarakat Islam yang lebih liberal dan plural dalam meraikan kepelbagaian melalui sosialisasi antara agama menerusi tempat ibadah, dialog antara agama asalkan tidak melangkaui had sempadan yang jelas. Mereka mengetahui bahawa masyarakat setempat masih memiliki pandangan tipikal terhadap isu-isu akidah yang jelas, maka modus operandi yang digunakan adalah dengan ‘merasionalkan’ pengamalan dalam ruang-ruang khilafiyah. Konflik ini tidak akan memperkasakan kefahaman terhadap mazhab fiqh, tetapi dijadikan sebagai peluang untuk membebaskan diri kerangka mazhab dan berijtihad menurut kesedaran (consciousness) dan rasional masing-masing. Malahan mereka tidak menyedari bagaimana pendekatan sebenarnya yang digunakan oleh Nabi dan para sahabat dalam berinteraksi dengan orang bukan Islam.

5. Pembawakan dan pendekatan golongan Liberalist adalah usaha untuk merombak semula sistem sosial daripada sisi dalaman sendiri dengan adanya aktivis Muslim Moderate ini. Idea-idea yang cuba diserapkan bertindak sebagai counter-hegemony terhadap status quo kini. Sedangkan taktik ini dilakukan adalah untuk menghakis kepercayaan mereka terhadap institusi agama yang dianggap sebagai intelektual organik demi mengekalkan kedudukan pemerintah. Di akhir perubahan melalui kempen-kempen kesedaran ini yang dinginkan ialah keterbukaan yang terhadap penganut agama lain dan pengamalan Islam yang tidak lagi tradisi tetapi dinamik dan progresif (Saeed, 2014). Tindakan tersebut hanya merugikan berbanding memberi manfaat kerana mereka perlu terlebih dahulu mengorbankan nilai-nilai Islam yang telah diwarisi dan dipegang selama ini. Sedangkan umat Islam kini sebenarnya boleh terbuka dengan seluas-luasnya kepada umat bukan Islam asalkan kepercayaan dan pengamalan sedia ada tidak diperlekeh dan diprovokasi. Tambahan umat Islam sedia menerima dan melakukan perkongsian ilmu dan idea demi meningkatkan kesefahaman antara agama dan budaya.

6. Kesimpulan, Golongan ini sedar bahawa kedua-dua nilai antara Islam dan Liberal adalah seperti air dan minyak di Malaysia. Walaupun liberalisme dan sekularisme dianggap baik di Barat kerana dakwah Islam mudah tersebar luas di sana, namun berbeza konteks di Malaysia. Di Malaysia, liberalisme dijadikan alat oleh golongan tertentu bagi membina semula (re-construct) sistem nilai masyarakat dengan wajah secular dan plural hanya semata-mata menginginkan kesepaduan antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada umat Islam dan bukan Islam. Mereka tidak yakin dengan jenama ‘Islam’ itu mampu membina kesepaduan nasional. Malahan mereka mengambil kesimpatan di atas kejahilan umat Islam untuk memburukkan Islam baik secara sedar ataupun tidak. Maka penting bagi masyarakat kini mengenali wajah sebenar liberalism dari pelbagai sisi dan konteks agar tidak mudah dipengaruhi dengan kefahaman yang kelihatan benar, tetapi tempang logik mereka.

RUJUKAN

Aljazeera. 2014. Malaysia investigates ‘dog patting’ event. [21 Oktober 2014]

http://www.aljazeera.com/…/malaysia-investigates-dog-patting event-2014102171928254140.html [3 July 2016].

Edmund Fawcett. 2014. Liberalism: The Life of an Idea. New Jersey: Princeton University Press.

Saeed, Abdullah, 2014. Pengantar Pemikiran Islam. Yogyakarta: Baitul Hikmah.

Sani, Abdul Halim. 2012. Manifesto Intelektual Profetik. Yogyakarta: Samudra Biru.

Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1993. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ISTAC.

Disediakan Oleh:

Pertubuhan Penyelidikan Ahlussunnah Wal Jamaah
Johor Bahru, Johor (ARG)

Share Button
Mengapa Golongan Liberalist Gemar Melakukan Program-program Kontroversi dan Adakah Ia Berkait Rapat dengan Ideologi Mereka? | aswj-rg.com | 4.5